Pesta Kebudayaan Yang Menarik ❤



     Selain kepelbagaian Bahasa dan makanan yang unik, Borneo juga dikenali dengan pesta-pesta yang menarik seperti pertandingan ratu cantik. U

Unduk Ngadau
  •      Di Sabah, pertandingan ratu cantik yang utama dikenali sebagai ‘Unduk Ngadau’ yang merujuk kepada semangat Huminodun iaitu gadis yang telah berkorban suatu ketika dahulu demi menyelamatkan kaumnya di Sabah daripada kelaparan. Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari” dan biasanya pertandingan ini diikuti oleh gadis berbangsa kadazan, dusun dan murut. 

Sejarah Huminodun 
    Mitos Unduk Ngadau ini adalah tentang Tuhan masyarakat Kadazandusun, Kinorohingan dan isterinya, Suminundu, yang terpaksa mengorbankan anak perempuan mereka iaitu Huminodun. Mereka terpaksa berbuat sedemikian kerana percaya masalah bencana alam yang melanda kampung mereka akan berakhir selepas upacara pengorbanan gadis jelita. 

Mengikut legenda, segala bahan makanan yang wujud pada ketika itu berasal daripada tubuh gadis berkenaan. Beras ketika itu datangnya daripada isi gadis yang putih melepak, darahnya pula bertukar menjadi lada dan kepalanya bertukar menjadi kelapa serta jari jemarinya bertukar halia.

Tentunya, kepercayaan ini turut dikongsi oleh beberapa etnik lain termasuk Murut dan Rungus, sekali gus terbabit sama dalam meraikan acara itu pada setiap tahun bermula 30 sehingga 31 Mei.

Cerita legenda itu terus dilestarikan bagi mengenang kembali sejarah pengorbanan Huminodun menerusi penganjuran pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik yang diadakan di seluruh Sabah dengan pertandingan akhirnya diadakan di Kota Kinabalu pada setiap kali perayaan Tadau Kaamatan.

Unduk Ngadau diadakan pada bulan Mei iaitu bersamaan dengan Hari Kaamatan pada setiap tahun
     Hal dikatakan demikian kerana, pertandingan Unduk Ngadau merupakan salah satu pesta yang memperkenalkan kepelbagaian kaum di Sabah.
Contohnya dari segi :

  1. Pakaian tradisi.
  2. Bahasa ibunda.
  3. Melambangkan kecantikan tersendiri.


Ciri-ciri seseorang untuk bergelar juara Unduk Ngadau 
    Selain paras rupa kecantikan yang dilihat, seorang juara Unduk Ngadau juga memerlukan beberapa ciri yang tertentu. 
Antaranya ialah :
  1. Mengetahui sejarah Huminodun.
  2. Fasih bertutur bahasa ibunda seperti bahasa kadazan, dusun dan murut. 
  3. Pemahaman yang mendalam dalam budaya tersendiri.
  4. Memiliki nilai murni yang tertinggi.
  5. Berdisiplin, bersikap proaktif dan semangat berpasukan.
  6. Memperagakan pakaian tradisi dengan penuh keaslian selaras dengan cara berjalan, senyum dan mata yang menarik.
  
Pengalaman saya mengikuti pertandingan Unduk Ngadau
      Pada bulan Mei, saya telah mendapat kesempatan untuk mengikuti pertandingan Unduk Ngadau. Dengan segala usaha saya memperkasakan bahasa ibunda dan budaya, saya telah menjadi juara Unduk Ngadau Wilmar 2019.

  
Pakaian tradisi yang saya persembahkan ketika pertandingan Unduk Ngadau merupakan pakaian tradisi Dusun Lotud.

Berikut merupakan video penghargaan saya :

Untuk melihat persembahan penuh peserta-peserta Unduk Ngadau yang lain boleh dilihat dalam video ini :
 


Pekit Kumang
  •      Di  Sarawak pula, pertandingan ratu cantik yang paling utama ialah 'Pekit Kumang' merujuk pada Pertandingan Ratu Cantik yang dianjurkan semasa perayaan Hari Gawai. Pekit Kumang merupakan satu pertandingan di mana peserta akan memakai pakaian tradisional perempuan kaum Iban, Ngepan Iban.

Sejarah Pekit Kumang
      Asal usul ngepan indu iban dipercayai berasal daripada seorang gadis yang bernama Kumang pada zaman dahulu. Kumang merupakan seorang wanita yang sangat baik dalam kalangan wanita iban dan seorang wanita yang pandai membuat sebarang kerja wanita seperti bertenun, ngebat, membuat anyaman dan lain-lain.

Selain itu, beliau dahulu bukan sahaja terkenal dengan kecantikan beliau tetapi beliau mempunyai sikap yang baik kepada orang lain.

Kemahiran yang ada pada Kumang telah menghasilkan pakaian tersebut telah menjadi rujukan sebagai pakaian tradisional bagi masyarakat iban. Lengkap dengan perhiasaan perak, tembaga, manik dan kain yang dibuat daripada pelbagai corak telah menjadikan Kumang sebagai model bagi pakaian tradisional ini.

Pekit Kumang diadakan pada Julai iaitu bersamaan dengan Hari Gawai setiap tahun
     Sama seperti 'Unduk Ngadau', pekit kumang diadakan bagi memperkenalkan ;
  1. Pengekalan pakaian tradisi 'ngepan' yang tepat kerana setiap perhiasan yang dipakai oleh pemakai mempunyai maksud tertentu.
  2. kefasihan bahasa ibunda.
  3. Melambangkan kecantikan tersendiri
Ciri-ciri seseorang untuk bergelar juara Pekit Kumang
     Dalam pertandingan Pekit Kumang, pemakaian pakaian tradisional merupakan simbolik utama yang diperhatikan. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengekalan pakaian tradisional amat penting dikekalkan sejak turun-temurun. Terdapat beberapa ciri-ciri perhiasan pada pakaian yang harus sentiasa dipandang.
Antaranya ialah :
  1. Sugu tinggi yang digunakan sepatutnya sememangnya tinggi daripada sugu tinggi yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana, sugu tinggi yang rendah adalah untuk isteri orang ataupun janda.
  2. Corak ngepan kain bagi seorang gadis haruslah terang warnanya. Ini menunjukan perempuan tersebut boleh dijadikan sebagai isteri.
Gambar berikut merupakan pemenang Pekit Kumang Gawai Sibu 2019 pada Hari Gawai tahun ini


Berikut merupakan suasana pesta Pekit Kumang Gawai Sibu 2019 :


Jika ditelusuri secara mendalam, boleh dikatakan bahawa kedua-dua pesta ini mempunyai motif yang sama iaitu untuk memperkenalkan sekaligus mengekalkan adat tradisi yang tersendiri agar tidak ditelan arus pemodenan. 

Adat tradisi tersendiri di dalam kedua-dua negeri borneo hendaklah diperkenalkan secara tepat seperti yang telah diturunkan oleh nenek moyang yang dahulu kerana adat ini tidak boleh diubah untuk mengikuti zaman modenisasi pada masa kini bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Oleh itu, pihak yang tertentu hendaklah memberi kerjasama dalam memperjuangkan adat tradisi melalui pesta Unduk Ngadau dan Pekit Kumang sebelum nasi menjadi bubur.

Menarik sungguh pesta-pesta yang diadakan di Sabah dan Sarawak Kan? Kalau ada masa, bawalah keluarga untuk  bercuti di Sabah dan Sarawak agar dapat merasai suasana pesta yang diadakan. 

Bah itu sahaja dari saya! ❤️

Awanadan tokou no da 🤗
( Semoga kita sentiasa diberkati )

Ditulis oleh : Grace Angel George

Comments

Post a Comment

Popular Posts