Makanan Tradisional Etnik Kadazan Dusun 🥗


Makanan Tradisional Etnik Kadazan Dusun

    Siapa sini suka makanan? Saya pasti semua pun suka! 


Seperti yang kita ketahui, setiap kaum atau bangsa pasti mempunyai makanan tradisional mereka yang tersendiri. Inilah yang menjadikan setiap kaum itu unik dan menarik! 

Disini saya akan memperkenalkan makanan tradisional etnik Kadazan Dusun (etnik saya sendiri) iaitu Hinava, Bosou dan Tuhau! Pernahkah kamu dengar nama-nama makanan ini? Ingin tahu? Jom sama-sama kita 'explore' ~

1. Hinava 

Hinava merupakan sebuah hidangan yang istimewa bagi masyarakat kadazan dusun. Makanan ini dihasilkan daripada isi ikan yang segar dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, halia, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam.

Isi ikan tidak perlu dimasak kerana perahan jus limau kapas ataupun limau kasturi akan menjadikan ia masak. 

Pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk membuat Hinava. Tapi kebiasaannya, isi ikan tenggiri, bahkan isi ikan yu juga digunakan. Makanan laut seperti isi udang dan sotong juga boleh digunakan untuk menyediakan makanan ini. 

Berikut merupakan sebuah video tutorial tentang cara-cara penyediaan Hinava:
↪ Cara Penyediaan Hinava

FUN FACT: Terdapat suku kaum Melanau di Sarawak yang juga mempunyai makanan tradisional yang sama namun mempunyai nama yang berbeza iaitu dipanggil "Umai".



2. Bosou

Bosou atau juga dikenali sebagai Sambaat, merupakan salah satu makanan tradisional etnik Kadazan Dusun. Makanan ini kebiasaannya dijadikan sebagai hidangan sampingan sebagai "pembangkit selera".

Antara bahan utama yang digunakan untuk menyediaka Bosou adalah pangi dalam bahasa Kadazan Dusun ataupun biji kepayang dalam bahasa Melayu. Bahan-bahan yang lain termasuklah nasi putih, lada putih, batang pisang, dan sayur bawang.

Pangi berfungsi sebagai pengawet semula jadi agar makanan ini boleh bertahan selama 6 bulan hingga 1 tahun.

Terdapat pelbagai jenis Bosou termasuklah Bosou Ikan, Bosou Sayur, Bosou Nangka dan banyak lagi!

Jom tengok macam mana cara penyediaan Bosou Ikan:

FUN FACT: Antara makanan-makanan tradisional di Sabah, inilah favourite saya! 💃

3. Tuhau

Tuhau merupakan salah satu makanan tradisional yang terkenal di Sabah. Ia juga dikenali sebagai 'wild ginger'. 

Tuhau boleh disediakan dengan pelbagai cara mengikut kesukaan sendiri dan dijadikan sebagai hidangan sampingan. Antaranya termasuklah dicampurkan dengan ikan masin, Pinasakan, dan sambal.

Masyarakat Kadazan Dusun di Sabah mempercayai bahawa Tuhau mempunyai kebaikan untuk tubuh kita dari segi kesihatan.  Hal ini kerana, Tuhau mempunyai kandungan fiber yang tinggi, antioksidan dan sifat anti-bakteria. 

Makanan ini mempunyai rasa yang unik dan juga bau yang kuat. Ia juga boleh bertahan dalam jangka masa yang lama kerana telah dijeruk.

Bagaimanakah cara kita menyediakan Tuhau? Ketahui jawapannya melalui link video di bawah:

FUN FACT: Terdapat juga beberapa orang yang tidak suka Tuhau kerana baunya yang sangat kuat. Baunya juga adalah hampir sama dengan bau 'Posisang' iaitu sejenis kumbang kecil.



Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini. Adakah anda ingin mencuba makanan-makanan tradisional etnik Kadazan Dusun di atas? Anda pasti boleh cuba untuk mengikuti cara penyediaan yang ditunjukkan dalam video-video tersebut. 

Selamat mencuba!❤

Ditulis oleh: Michele Lissie Malson



Comments

Post a Comment

Popular Posts